Thursday, March 21, 2013



 السلامعليكم

Salam sejahtera buat semua pembaca. Kali ini saya mahu berkongsi kisah yang berlaku ketika saya berada di Kuala Lumpur tempoh hari. Saya baru teringat akan kejadian ini. Ketika itu saya dan seorang sahabat baru sahaja keluar dari restoran makanan segera. Saya melihat dua hingga tiga orang kanak-kanak Melayu Islam yang bertudung sedang memegang beberapa buah Kitab Surah Yasin. Saya melihat gelagat mereka. Mereka menjual kitab-kitab tersebut kepada orang awam dan meminta wang sebanyak RM1. Saya agak terkejut melihat situasi ini. Kemudian, datang seorang wanita korporat berbangsa India mendekati kanak-kanak tersebut. Dengan senyuman, wanita India tersebut bertanya siapakan yang menyuruh mereka menjual kitab-kitab tersebut. Namun, tiada jawapan. Kanak-kanak tersebut berlalu pergi meninggalkan wanita terbabit.
Berdasarkan keadaan di atas, saya berpendapat pasti ini kerja sindiket yang diketuai oleh orang dewasa. Saya berasa kasihan melihat kanak-kanak terbabit yang berpakaian agak comot dan kusam. Pada waktu yang sama juga, saya berasa kagum dengan wanita berbangsa India terbabit yang masih mempunyai sikap prihatin terhadap isu yang berlaku di sekitarnya.
Saya berharap masalah ini dapat diatasi oleh pihak berwajib. Tempat kanak-kanak tersebut adalah di sekolah untuk menuntut ilmu. Tempat mereka bukan di jalanan untuk bekerja.

*Bersyukurlah bagi mereka yang bernasib baik mempunyai keluarga yang bahagia

No comments:

Post a Comment