Tuesday, March 12, 2013



 السلامعليكم

Pada hari ini, saya suka untuk berkongsi satu kisah mengenai seorang penjaga kedai yang diupah tuannya untuk menjaga sebuah kedai runcit. Saya ingin membeli barang keperluan dapur dan mahu membeli serbuk kari untuk memasak apabila tamat kuliah. Saya ingin bertanya kepada gadis penjaga kedai tersebut, namun tidak berkesempatan kerana beliau asyik bercakap melalui telefon. Saya beranggapan beliau sedang bercakap dengan teman lelakinya berdasarkan lenggok badan dan nada manjanya. Saya yang mahu cepat ini pun menjadi lewat. Kebetulan seorang pensyarah dari fakulti saya mahu membeli barang di situ, namun gadis tersebut masih asyik bercakap di telefon. Lantas, si pensyarah tadi bertanya dengan nada yang agak keras dan tinggi, “Harga air ni berapa? Saya mahu bayar ni, ada kelas sekejap lagi”. Gadis tersebut mengerutkan dahi. Kemudian, seorang lelaki berketurunan Cina datang dan terus ke kaunter bayaran sambil berdiri di sebelah gadis tersebut. Gadis itu tadi kelam kabut. Di hadapan kami juga pemilik kedai berbangsa Cina itu memarahi gadis itu kerana asyik berbual di telefon. Tetapi, gadis itu tidak mengakui perbuatannya dan mengatakan ibunya menelefon dari kampung dan dia berkata kepada ibunya bahawa dia sedang bekerja serta perlu menghentikan perbualan. Saya berasa amat terkejut dan pensyarah tadi hanya mengeleng-gelengkan kepalanya serta berlalu pergi setelah membuat bayaran.
                                                                                                                                    
Baiklah, berdasarkan situasi di atas, saya berharap ianya tidak akan berlaku kepada saya jikalau saya sudah bekerja nanti. Saya beranggapan dalam menjalankan apa-apa pekerjaan sekalipun, kejujuran amat penting dan fokus diperlukan. Hal ini kerana hasil yang kita terima (gaji) akan menjadi darah daging kita. Maka, berhatilah-hatilah dalam mencari rezeki nanti dan biarlah hasil pendapatan yang kita peroleh itu halal dan bersih daripada perkara yang syubhah (ragu-ragu status halalnya).

No comments:

Post a Comment