Friday, March 8, 2013



السلامعليكم 

Khas buat pembaca, saya mahu berkongsi satu situasi yang berlaku ketika saya berada di dalam komuter. Pada waktu itu, saya mahu ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) kerana mahu berjumpa dengan kakak kandung saya yang baru datang dari kampung. Pada waktu tersebut datang seorang lelaki yang boleh digelar sebagai “pakcik” menegur saya yang sedang duduk disebelahnya. Pakcik tersebut bertanya, “Saya boleh turun di mana ya? Saya mahu menaiki bas di Puduraya.” Saya yang agak arif dengan laluan komuter ini pun dengan tenang menjawab, “Pakcik boleh turun di Stesen Plaza Rakyat. Dari sana, pakcik ikut sahaja laluan yang menyambungkannya ke Stesen Bas Puduraya”. Namun, pakcik tersebut dengan nada yang agak keras membalas penerangan saya, “Aku mahu turun di Puduraya, yang ada bas, aku mahu jumpa anakku, bukannya di Plaza Rakyat”. Saya membalas dengan nada yang agak terketar-ketar, “Ya, pakcik boleh berjumpa dengan anak pakcik dengan menaiki bas di Stesen Puduraya”. Usai tiba di stesen Plaza Rakyat, saya menyuruh pakcik tersebut turun di sana. Dengan senyuman yang kelat, saya berkata di dalam hati, moga pakcik bertemu dengan anak pakcik ya.

Baiklah pembaca, berdasarkan situasi di atas. Sifat sabar amat diperlukan. Saya bukannya mahu mengaibkan pakcik tersebut, tiada langsung niat yang sebegitu rupa. Namun, saya hanya mahu mengambil contoh terdekat akan keadaan yang berlaku di sekeliling kita. Perlakuan pakcik tersebut kalau boleh dielakkan, hendaklah dielak. Adab-adab dalam proses komunikasi atau bertanya amat perlu untuk dititikberatkan. Saya tidak berkata bahawa saya seorang yang sabar, mungkin Allah pinjamkan sedikit perasaan sabar itu, maka saya boleh menghadapi situasi tersebut. Jikalau saya seorang yang mudah melenting, pasti akan berlaku kekecohan pada waktu itu. Nauzubillah, minta dijauhkan. Saya berharap pembaca semua dapat mengambil teladan daripada kisah ini.

Saya juga sertakan sekali adab-adab bertanya untuk perkongsian kita bersama :
a) Memberi salam sebelum bertanya
b) Apabila bertanya, gunakanlah bahasa-bahasa yang baik dan sopan
c) Bertanyalah dengan ikhlas
d) Mengucapkan terima kasih
e) Meminta izin sebelum bertanya
f) Bertanya perkara yang munasabah
g) Pertanyaan itu tidak menyinggung perasaan orang lain



~Semoga bertemu lagi~

No comments:

Post a Comment