Friday, March 8, 2013




السلامعليكم 

Apa khabar para pembaca semua? Saya berharap anda dalam keadaan yang baik-baik sahaja dan perjalanan urusan kalian hari ini berjalan dengan lancar. Kali ini, saya mahu membicarakan mengenai satu situasi yang berlaku kepada saya ketika berada di dalam sebuah bank di pekan. Ketika itu saya mengeluarkan wang bagi membeli keperluan dapur untuk minggu tersebut. Saya mengeluarkan wang berjumlah lapan puluh ringgit. Ketika itu, agak ramai juga yang berada di ruangan mesin ATM tersebut. Dalam keadaan yang sedikit kelam-kabut itu saya memasukkan wang dan kad bank di dalam dompet lantas terus keluar dari bank tersebut. Kemudian, seorang pemuda India memanggil saya, “Adik, ini wang kamu tercicir. Ambillah, RM50 ini banyak. Lain kali hati-hati, periksa dahulu dompet kamu, jangan tergesa-gesa sangat”.  Terkejut dan lega saya tatkala berhadapann dengan situasi tersebut. Alhamdulillah, Allah pertemukan saya dengan orang yang jujur, jika tidak, pasti sudah hangus duit saya diambilnya. Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih kepada pemuda terbabit sebelum pemuda tersebut hilang dari pandangan setelah memecut motosikalnya.

Baiklah, berdasarkan situasi tersebut, saya berasa amat bersyukur dan bertuah kerana ketika saya tidak sedar keciciran wang, pemuda terbabit dengan rasa jujur dan tanggungjawab memanggil dan memaklumkan kepada saya. Sikap tersebut sangat wajar dipuji lebih-lebih lagi, pemuda tersebut bukan daripada kalangan bangsa Melayu. Oleh hal yang demikian, saya berharap kita semua dapat menjadi masyarakat yang prihatin tanpa mengira bangsa. Pesanan buat diri saya juga.

~Itu sahaja untuk kali ini. Semoga berjumpa lagi~

No comments:

Post a Comment