Friday, March 8, 2013



السلامعليكم

Salam sejahtera kepada semua pembaca yang sedang menatap blog ini. Diharapkan anda sihat dan berada di bawah rahmat Allah swt. Baiklah, kali ini saya akan berkongsi mengenai satu situasi yang berlaku ketika saya berada di dalam kedai di hadapan kampus. Saya mahu membeli sebungkus nasi kerabu kerana sudah lama saya mengidamkannya, cuma masa sahaja yang mencemburui saya, pasti ada sahaja kekangan saya untuk membelinya. Pada hari itu, saya mahu membelinya. Dari jauh saya sudah melihat kelibat manusia beratur untuk membeli nasi kerabu milik pengusaha dari negeri Cik Siti Wan Kembang tersebut. Tetapi saya tetap meneruskan langkah kaki saya ke kedai tersebut. Panjang juga barisan ini, getus hati ini. Saya tetap menunggu dan terus menunggu. Kala tiba giliran saya untuk membeli, pemilik kedai tersebut hanya mampu tersenyum tawar dan memejamkan matanya beberapa kali seraya berkata, “Maaf dik, nasi kerabu sudah habis. Esok datang awal sikit ya. Makcik minta maaf sangat-sangat. Kesian kamu menunggu”. Saya hanya menelan air liur sahaja, respon kepada makcik tersebut, saya hanya tersenyum pahit dan berkata, “Tidak mengapalah makcik, bukan rezeki saya. InsyaAllah, esok saya datang awal sedikit. Terima kasih ya”.

Baiklah, berdasarkan perlakuan makcik tersebut, saya berasa kagum melihat dirinya. Ibu tua itu tetap menguntumkan senyuman dan berkata maaf kepada saya yang dikatakan kempunan mahu memakan nasi kerabu buatannya itu. Dalam keletihannya membungkus nasi kerabu, dia masih mampu memohon maaf beberapa kali kepada saya. Saya beranggapan kerana perlakuannya yang mencuba memberi layanan terbaik kepada pelanggannya itulah salah satu sebab nasi kerabunya digemari pelajar-pelajar universiti. Hubungan mesra antara makcik tersebut dengan para pelanggannya itu membuatkannya mempunyai pelanggan yang tetap, jika tidak, manakan panjang barisan pelanggan yang mahu membeli nasi kerabunya itu tiap-tiap hari. Namun, saya masih menunggu hari esok untuk membelinya. Saya berharap rezeki untuk saya pada hari esok.

~Sekian. Semoga berjumpa lagi di ruangan ini~

No comments:

Post a Comment