Wednesday, March 27, 2013



بسم الله الرحمن الرحيم
Selamat petang saya ucapkan kepada semua pemabca saya. Baiklah, pada petang ini, saya mahu berkongsi satu situasi yang baru sahaja berlaku ketika satu mesyuarat bersama sebuah organisasi yang saya sertai. Apa yang saya ingin kongsikan di sini, majoriti daripada kami ialah  golongan pelajar yang sama umur dan dan semester. Pada kebiasaannya, kami akan berbual sama seperti orang lain berbual. Apa yang menariknya, menyuarat akan kami mulakan pada dua petang. Sebelum mesyuarat bermula, bahasa yang kami gunakan adalah bahasa yang tidak formal seperti menggunakan ganti nama diri aku dan engkau serta penggunaan dialek yang pekat.
Sebaik sahaja pengerusi mesyuarat menyatakan mesyuarat akan dimulakan, secara automatiknya kami semua akan menggunakan bahasa yang standard yang biasanya digunakan dalam mesyuarat. Kami semua merupakan orang yang sama yang berbual-bual mengunakan bahasa yang tidak formal sebentar tadi tetapi sekarang menjadi seorang yang menggunakan bahasa yang formal. Apa yang menyebabkan kami semua mengubah penggunaan bahasa kami menggunakan bahasa formal kerana situasi kami yang sedang bermesyuarat. Paling ketara adalah penggunaan kata gandi diri dari aku kepada saya dan engkau kepada anda. Dapat dilihat dalam masyarakat kita sendiri, semua orang masih lagi menghormati majlis mesyuarat kerana kita masih lagi menggunakan bahasa formal sama ada mesyuarat di peringkat kecil mahupun peringkat besar.
 Bagi situasi yang saya hadapi dalam mesyuarat saya, saya berbangga kerana bahasa formal yang sebenar masih dapat dikekalkan dalam mesyuarat walaupun kami daripada golongan pelajar yang masih lagi ramaja dan mempunyai bahasa sehari-harian kami yang agak tunggang-langgang. Menghadiri banyak mesyuarat secara tidak langsung telah membiasakan saya untuk menggunakan bahasa yang betul ketika saya berhubungan dengan orang lain. Justeru, saya berharap para pembaca juga mampu mengamalkan untuk bertutur dengan bahasa yang betul dan berusaha memartabatkan bahasa Melayu.
Sekian, terima kasih. Salam permisi daripada saya.

Tuesday, March 26, 2013




بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua yang sudi membaca blog saya ini. Kali ini, saya mahu berkongsi satu yang berlaku ketika saya baru pulang dari kuliah pada hari ini. Di rumah, saya telah menghidupkan komputer riba saya dan melayari beberapa blog dan laman sosial facebook bagi mengikuti perkembangan semasa dan mencari maklumat mengenai tugasan.
Sedang asyik melayari  laman sosial facebook, saya terpandang akan satu artikel yang berunsur jenaka yang berkaitan juga dengan pepatah-pepatah Melayu. Artikel itu telah dikongsi oleh beberapa kenalan facebook saya pada dinding facebook masing-masing. Pepatah yang telah diubahsuai itu diberi tajuk ‘Pepatah yang telah dipatahkan . Antara pepatah tersebut adalah seperti berikut :
    1)  Biar putih tulang, jangan kuning gigi
    2)  Sebab pulut santan binasa, sebab mulut habis pulut
Entah apa-apa yang mereka telah lakukan kepada pepatah Melayu ini. Sudah elok dan cantik orang-orang dahulu mencipta pepetah tersebut tetapi anak muda pada hari ini pula telah merosakkan pepatah tersebut. Suatu perkara yang amat menyedihkan. Pada pandangan saya, kita tidak seharusnya mengubah suai pepatah-pepatah tersebut kerana hal tersebut mencerminkan bahawa bahasa Melayu tidak mempunyai nilai dan masyarakatnya pula tidak membunyai adab sedangkan kita mengetahui bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan kita.
Keadaan menjadi lebih teruk apabila pepatah ini mula disebar melalui pelbagai medium daripada media massa. Kesan masa panjangnya, bahasa Melayu akan menjadi bahasa mainan semua orang jika tiada tindakan yang dilakukan bagi menyekat perkara ini. Marilah kita sama-sama fikirkan masa depan bahasa kebangsaan kita ini. Diharapkan kita tidak tergolong dalam golongan yang menjahanamkan bahasa ini.
“Bahasa Jiwa Bangsa”

Monday, March 25, 2013




بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada pembaca blog saya. Kali ini saya mahu berkongsi cerita mengenai satu paparan yang terpapar di laman sosial saya, iaitu laman muka buku atau facebook. Peristiwa ini berlaku kala saya mahu mencari sedikit informasi mengenai isu-isu semasa yang berkaitan dengan bahasa ibunda.
        Semasa memerhatikan setiap status yang dikemas kini oleh rakan-rakan saya, mata saya tiba-tiba terpandang kepada satu status yang ditulis oleh seorang sahabat lelaki saya. Statusnya tertulis “what the hell ! I hate u girls ! I can live without u!”. Status ini sangat kasar dan seeloknya tidak perlulah dipaparkan di dinding laman sosial ini kerana akan memberi impak yang negatif terhadapnya.
Pada pandangan saya, sahabat saya ini tidak seharusnya berkata sedemikian kerana kata-kata itu mempunyai makna yang kurang baik, iaitu “celaka! Aku benci kau perempuan! Aku boleh hidup tanpa kau!”.  Dalam masyarakat Melayu, perkataan itu merupakan satu kata kesat yang akan menyakitkan hati orang yang mendengarnya atau melihatnya. Justeru, kita seharusnya bersabar dan berjaga-jaga dalam melakukan apa-apa tindakan walaupun dalam keadaan yang marah. Kita harus peka dengan sensitiviti masyarakat di Malaysia.
 Situasi ini juga akan membuatkan masyarakat mula memandang rendah terhadap diri kita kerana kurangnya adab dan santun dalam berbahasa. Lebih-lebih lagi yang mengeluarkan perkataan tersebut daripada seorang lelaki berbangsa Melayu yang terkenal dengan sifat ramah-tamah dan berbudi bahasa. Hal ini secara tidak langsung telah mencalarkan imej tersebut. Diharap kepada pembaca tidaklah melakukan perkara seperti di atas demi menjaga meruah bangsa kita. Semoga kita dapat memuhasabah diri kita semua.
Sekian, perkongsian saya pada hari ini.

Friday, March 22, 2013




السلام عليكم 

Salam Jumaat buat semua pembaca sekalian. Diharapkan kalian bahagia dan tenang lebih-lebih lagi pada Penghulu Hari seperti hari ini. Baiklah, hari ini saya mahu bercerita mengenai “DIALEK”. Saya bukanlah seorang komentator yang hebat untuk mengkritik bahasa daerah negeri lain, tetapi saya hanya pemerhati yang sayangkan bahasa ibunda kita. Atas urusan tertentu, saya perlu berjumpa dengan seorang hamba Allah ini melalui sahabat saya yang datangnya dari negeri pantai timur. Kala berjumpa dengannya, saya perlu berkomunikasi dengannya. Masalahnya, saya tidak berapa memahami butir-butir bicaranya kerana beliau berkomunikasi dengan menggunakan dialek negerinya yang sangat pekat sehinggakan saya terpaksa menyuruhnya mengulangi butir-butir bicaranya. Nasib baiklah sahabat saya ini berasal dari negeri pantai timur, maka dialah yang membantu menterjemahkannya.

Berdasarkan situasi di atas, saya berasa perlu  untuk semua mahasiswa/i mencuba bertutur dengan menggunakan bahasa Melayu standard. Hal ini penting bagi usaha memartabatkan semula bahasa ibunda kita. Ia juga memudahkan proses komunikasi antara individu yang berasal dari negeri yang berlainan.

Berikut merupakan makna bagi perkataan dari negeri Kelantan yang sering digunakan dan membuatkan saya sedikit hilang fokus ketika menemu bual individu tersebut:
1.      Jolo doh tu = betul dah tu
2.      Kelik = pulang
3.      Timun = tembikai
4.      Saing = kawan
5.      Ambo = saya

Thursday, March 21, 2013



 السلامعليكم

Salam sejahtera buat semua pembaca. Kali ini saya mahu berkongsi kisah yang berlaku ketika saya berada di Kuala Lumpur tempoh hari. Saya baru teringat akan kejadian ini. Ketika itu saya dan seorang sahabat baru sahaja keluar dari restoran makanan segera. Saya melihat dua hingga tiga orang kanak-kanak Melayu Islam yang bertudung sedang memegang beberapa buah Kitab Surah Yasin. Saya melihat gelagat mereka. Mereka menjual kitab-kitab tersebut kepada orang awam dan meminta wang sebanyak RM1. Saya agak terkejut melihat situasi ini. Kemudian, datang seorang wanita korporat berbangsa India mendekati kanak-kanak tersebut. Dengan senyuman, wanita India tersebut bertanya siapakan yang menyuruh mereka menjual kitab-kitab tersebut. Namun, tiada jawapan. Kanak-kanak tersebut berlalu pergi meninggalkan wanita terbabit.
Berdasarkan keadaan di atas, saya berpendapat pasti ini kerja sindiket yang diketuai oleh orang dewasa. Saya berasa kasihan melihat kanak-kanak terbabit yang berpakaian agak comot dan kusam. Pada waktu yang sama juga, saya berasa kagum dengan wanita berbangsa India terbabit yang masih mempunyai sikap prihatin terhadap isu yang berlaku di sekitarnya.
Saya berharap masalah ini dapat diatasi oleh pihak berwajib. Tempat kanak-kanak tersebut adalah di sekolah untuk menuntut ilmu. Tempat mereka bukan di jalanan untuk bekerja.

*Bersyukurlah bagi mereka yang bernasib baik mempunyai keluarga yang bahagia

Wednesday, March 20, 2013



السلام عليكم 

Assalammualaikum dan salam sejahtera semua pembaca. Baiklah, hari ini saya mahu bercerita mengenai insiden yang berlaku kepada saya pada tengahari tadi. Sewaktu ingin membeli juadah makan tengahari, saya melalui kedai yang menjual produk pelangsingan badan di hadapan kampus. Disebabkan tubuh saya yang berisi ini, saya diberikan flyers mengenai produk tersebut. Dengan senyuman, saya mengambil flyers tersebut. Selepas membeli makanan di sebuah restoran, saya berniat mahu ke bangunan Bitarasiswa untuk ke bilik gerakan bagi menyelesaikan tugas-tugas kesetiausahaan yang masih terbengkalai. Saya melalui jalan yang sama seperti sebelum membeli makanan tadi. Tiba-tiba saya ditahan oleh penjual produk pelangsingan badan tadi dan dipujuk agar masuk ke kedai tersebut. Saya menurutinya. Di dalam kedai tersebut, saya diberi dengan pelbagai pengetahuan tentang produk kesihatan dan pelangsingan badan. Saya melihat testimoni pengguna-pengguna sebelum ini. Si penjual juga tidak segan-segan membuka cerita dengan mengatakan dahulu dia juga seorang yang berbadan besar, tiada dengan keyakinan diri dan pelbagai lagi. Saya hanya tersenyum dan tidak lama kemudian meminta izin untuk keluar keranan ada urusan yang perlu diselesaikan.

Berdasarkan keadaan di atas, saya dapat melihat bagaimana penjual tadi menggunakan ayat-ayat yang berunsurkan retorik pemujukan. Saya bakal cikgu bahasa Melayu, jadi saya faham akan situasi tadi. Mengenai produk tersebut, saya akui keberkesanannya berdasarkan testimoni tadi,tetapi saya masih belum mahu untuk mencubanya. Andai saya mahu memperoleh badan yang langsing, saya lebih suka menggunakan kaedah semulajadi, iaitu bersenam dan menjaga pemakanan. 
*Badan sihat, otak cerdas.

Tuesday, March 19, 2013



 السلام عليكم

Salam sejahtera buat semua pembaca. Hari ini saya mahu berkongsi satu kejadian yang berlaku sewaktu saya mahu membayar bil elektrik pagi tadi. Ketika tiba di pintu masuk pejabat pos tersebut, saya berselisih bahu dengan seorang lelaki tua yang umurnya dalam lingkungan lewat 50-an. Lelaki tua itu mahu keluar usai berurusan di pejabat pos tersebut. Tiba-tiba datang seorang remaja lelaki yang tergesa-gesa mahu masuk dan meluru ke kaunter di pejabat pos tersebut. Saya berasa pelik dengan sikapnya. Jam baru sahaja menunjukkan jam 3 petang. Masih berbaki lagi 2 jam seandainya dia mahu berurusan di kaunter. Saya terkesima seketika tatkala si remaja tadi dengan lagak bersahaja melanggar bahu lelaki tua tadi dan tanpa menoleh apatah lagi meminta maaf terus menuju ke kaunter. Si lelaki tua tadi hampir tersungkur di anak tangga di depan pintu pejabat pos tersebut.

Berdasarkan keadaan di atas, saya tertanya-tanya di manakah sikap hormat-menghormati dalam jiwa anak muda sekarang? Saya sedar, saya bukanlah siapa-siapa pun, namun atas dasar tanggungjwab saya amat sedih dan kesal kerana perkara sebegini masih berlaku. Saya beranggapan remaja lelaki itu tadi tidak akan rugi jikalau memohon maaf atau paling tidak pun menoleh dan mengangkat tangan kepada lelaki tua itu pun sudah cukup. Nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat pada hari ini semakin pudar. Salah siapakah ? 
*Mari kita renungkan bersama.