Monday, April 1, 2013



بسم الله الرحمن الرحيم
Assalammualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca blog saya, semoga sihat-sihat hendaknya. Baiklah pada hari ini, saya ingin berkongsi mengenai masalah kebersihan. Umum mengetahui kebersihan itu sebahagian daripada iman. Namun, apa yang  merungsingkan fikiran saya ialah kegiatan membuang sampah merata-rata kini menjadi gaya hidup yang biasa dalam kalangan masyarakat di Malaysia sehinggakan ada pelancong Jepun pernah berkata rakyat Malaysia tidak sayangkan negara sendiri .
Situasi pada kali ini berlaku ketika saya mahu ke kelas di kampus lama. Dalam perjalanan, saya yang menunggang basikal ini, terpaksa mengekori belakang sebuah kereta Viva berwarna hitam. Namun, sedang asyik menunggang basikal, tiba-tiba saya ternampak satu beg plastik terbang ke arah saya secara tiba-tiba.
Alhamdulillah, saya sempat mengelaknya. Berdasarkan pemerhatian saya, saya mendapati bahawa salah seorang penumpang di dalam kereta tersebut telah membuang sampah melalui tingkap kereta itu. Dengan perasaan tidak bersalah dia telah melakukan kesalahan yang agak berat kerana membuang sampah merata-rata. Siapa yang hendak mengutip sampah yang dia buang tadi. Pakaian saya juga sedikit basah kerana penumpang kereta tersebut membuang plastik minuman yang masih suam dan berisi air kopi. Saya berasa sedikit marah, namun ditahan jua perasaan itu.
Konklusinya, kita sebenarnya tidak boleh membuang sampah merata-rata kerana akan menyebabkan persekitaran kotor dan kadang-kadang boleh mendatangkan kemudaratan seperti penyakit. Dalam hal ini, masyarakat dikatakan tidak mempunyai nilai sivik yang tinggi kerana bertindak membuang sampah ke luar kenderaan tanpa mengambil kira pengguna jalan raya yang lain. Justeru, saya menyeru pelbagai pihak supaya sedar dan waspada terhadap tindakan yang tidak berpedoman seperti membuang sampah merata-rata. Simpanlah sementara sampah tersebut sehingga tiba di tempat buang sampah yang sepatutnya. Bukannya payah sangat. Sama-samalah kita berganding bahu menjaga kebersihan negara kita demi kesejahteraan bersama.
Sekian, coretan saya pada hari ini. Semoga berjumpa lagi di blog “Bicara Qalbu” pada esok hari. Selamat malam.

No comments:

Post a Comment