Friday, March 29, 2013



بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Semoga berada dalam keadaan sihat sejahtera. Baiklah, pada hari ini, saya ingin berkongsi akan satu isu yang berkaitan dengan politik. Semasa saya membuka komputer riba saya untuk membuat tugasan, saya sempat membuka laman sosial ‘Facebook’ untuk mengetahui mengenai perkara-perkara dan isu-isu semasa.
Sewaktu asyik membuat tinjauan, saya telah terjumpa satu video mengenai perhimpunan yang diadakan oleh para pembangkang kerajaan. Dalam keriuhan berhimpun, terdapat beberapa suara-suara sumbang yang berbunyi “ polis anjing UMNO, polis anjing UMNO”. Ayat tersebut dilaungkan secara beramai-ramai sebanyak beberapa kali. Sangat kasar laungan tersebut untuk kita semua mendengarnya.
Walaupun kita tidak menyokong mana-mana pimpinan, kita seharusnya tidak mengeluarkan kata-kata kesat sebegitu kepada pihak yang tidak bersalah. Mengapakah mereka melaungkan perkataan sedemikian rupa ? Adakah selama ini polis dianggap seperti anjing atau tugas mereka sebenarnya adalah menjaga keselamatan dan keharmonian negara sedangkan sudah banyak jasa polis yang ditaburkan demi menjaga kesejahteraan dan keharmonian negara kita ini.
Dalam hal ini, kita tidak sepatutnya berkelakuan sebegitu rupa kerana akan membuatkan masyarakat luar memandang serong terhadap kelakuan masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu. Sudahlah perhimpunan tersebut dilakukan di kawasan terbuka dan boleh disaksikan oleh semua orang sama ada orang tempatan mahupun luar negara. Bukan berniat untuk menyokong mana-mana parti, sekadar mahu berkongsi gelagat sesetengah pihak. Pada pendapat saya, cara terbaik untuk menasihati atau mengkritik orang lain adalah dengan menggunakan bahasa yang santun dan tidak menggunakan nada yang tinggi. Sama-samalah kita renung dan fikir.
Sekian, kita berjumpa lagi pada paparan yang seterusnya. Selamat malam.  

No comments:

Post a Comment