Friday, March 29, 2013



بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Semoga berada dalam keadaan sihat sejahtera. Baiklah, pada hari ini, saya ingin berkongsi akan satu isu yang berkaitan dengan politik. Semasa saya membuka komputer riba saya untuk membuat tugasan, saya sempat membuka laman sosial ‘Facebook’ untuk mengetahui mengenai perkara-perkara dan isu-isu semasa.
Sewaktu asyik membuat tinjauan, saya telah terjumpa satu video mengenai perhimpunan yang diadakan oleh para pembangkang kerajaan. Dalam keriuhan berhimpun, terdapat beberapa suara-suara sumbang yang berbunyi “ polis anjing UMNO, polis anjing UMNO”. Ayat tersebut dilaungkan secara beramai-ramai sebanyak beberapa kali. Sangat kasar laungan tersebut untuk kita semua mendengarnya.
Walaupun kita tidak menyokong mana-mana pimpinan, kita seharusnya tidak mengeluarkan kata-kata kesat sebegitu kepada pihak yang tidak bersalah. Mengapakah mereka melaungkan perkataan sedemikian rupa ? Adakah selama ini polis dianggap seperti anjing atau tugas mereka sebenarnya adalah menjaga keselamatan dan keharmonian negara sedangkan sudah banyak jasa polis yang ditaburkan demi menjaga kesejahteraan dan keharmonian negara kita ini.
Dalam hal ini, kita tidak sepatutnya berkelakuan sebegitu rupa kerana akan membuatkan masyarakat luar memandang serong terhadap kelakuan masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu. Sudahlah perhimpunan tersebut dilakukan di kawasan terbuka dan boleh disaksikan oleh semua orang sama ada orang tempatan mahupun luar negara. Bukan berniat untuk menyokong mana-mana parti, sekadar mahu berkongsi gelagat sesetengah pihak. Pada pendapat saya, cara terbaik untuk menasihati atau mengkritik orang lain adalah dengan menggunakan bahasa yang santun dan tidak menggunakan nada yang tinggi. Sama-samalah kita renung dan fikir.
Sekian, kita berjumpa lagi pada paparan yang seterusnya. Selamat malam.  

Thursday, March 28, 2013



بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada anda semua, pembaca sekalian. Kali ini saya ingin berbicara mengenai makanan. Memang sangat sedap jika dapat menjamu makanan yang panas-panas ketika cuaca sejuk, Maklumlah sedang musim hujan, pasti perut akan berasa lapar.
Disebabkan perut yang agak kelaparan, saya singgah di sebuah gerai di tepi jalan berhampiran depan kampus untuk membeli kuih sebagai kudapan waktu petang. Semasa saya sedang sibuk memilih untuk membeli kuih, datang seorang lagi pembeli lain dan dia bertanya kepada penjual “ Makcik, goreng pisang ada tak?”.
Sebagai pelajar yang mengambil program Pendidikan Bahasa Melayu, saya hanya mampu tersenyum dan mengelengkan kepala kerana pelajar terbabit menggunakan bahasa Melayu yang salah. Penggunaan perkataan “ goreng pisang” adalah salah kerana melanggar hukum D-M. Hal ini demikian kerana dalam hukum D-M, perkara yang diterangkan haruslah hadir dahulu sebelum perkara yang menerangkan. Dalam hal ini, ‘goreng’  merupakan perkataan yang menerangkan tentang ‘pisang’. Perkataan sebenar ialah pisang goreng.
Jika perkataan ‘goreng’ dihadapankan, frasa tersebut merupakan frasa kerja bukannya kata nama. Yang musykilnya, kenapa tiada orang menyebut ‘goreng nasi’? Pandai pula hendak menyebutnya dengan betul ‘nasi goreng’. Jadi sama-samalah kita fikirkan dan cuba untuk menuturkan bahasa Melayu yang sebetulnya.
Sekian, coretan saya pada hari ini. Selamat malam.

Wednesday, March 27, 2013



بسم الله الرحمن الرحيم
Selamat petang saya ucapkan kepada semua pemabca saya. Baiklah, pada petang ini, saya mahu berkongsi satu situasi yang baru sahaja berlaku ketika satu mesyuarat bersama sebuah organisasi yang saya sertai. Apa yang saya ingin kongsikan di sini, majoriti daripada kami ialah  golongan pelajar yang sama umur dan dan semester. Pada kebiasaannya, kami akan berbual sama seperti orang lain berbual. Apa yang menariknya, menyuarat akan kami mulakan pada dua petang. Sebelum mesyuarat bermula, bahasa yang kami gunakan adalah bahasa yang tidak formal seperti menggunakan ganti nama diri aku dan engkau serta penggunaan dialek yang pekat.
Sebaik sahaja pengerusi mesyuarat menyatakan mesyuarat akan dimulakan, secara automatiknya kami semua akan menggunakan bahasa yang standard yang biasanya digunakan dalam mesyuarat. Kami semua merupakan orang yang sama yang berbual-bual mengunakan bahasa yang tidak formal sebentar tadi tetapi sekarang menjadi seorang yang menggunakan bahasa yang formal. Apa yang menyebabkan kami semua mengubah penggunaan bahasa kami menggunakan bahasa formal kerana situasi kami yang sedang bermesyuarat. Paling ketara adalah penggunaan kata gandi diri dari aku kepada saya dan engkau kepada anda. Dapat dilihat dalam masyarakat kita sendiri, semua orang masih lagi menghormati majlis mesyuarat kerana kita masih lagi menggunakan bahasa formal sama ada mesyuarat di peringkat kecil mahupun peringkat besar.
 Bagi situasi yang saya hadapi dalam mesyuarat saya, saya berbangga kerana bahasa formal yang sebenar masih dapat dikekalkan dalam mesyuarat walaupun kami daripada golongan pelajar yang masih lagi ramaja dan mempunyai bahasa sehari-harian kami yang agak tunggang-langgang. Menghadiri banyak mesyuarat secara tidak langsung telah membiasakan saya untuk menggunakan bahasa yang betul ketika saya berhubungan dengan orang lain. Justeru, saya berharap para pembaca juga mampu mengamalkan untuk bertutur dengan bahasa yang betul dan berusaha memartabatkan bahasa Melayu.
Sekian, terima kasih. Salam permisi daripada saya.

Tuesday, March 26, 2013




بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua yang sudi membaca blog saya ini. Kali ini, saya mahu berkongsi satu yang berlaku ketika saya baru pulang dari kuliah pada hari ini. Di rumah, saya telah menghidupkan komputer riba saya dan melayari beberapa blog dan laman sosial facebook bagi mengikuti perkembangan semasa dan mencari maklumat mengenai tugasan.
Sedang asyik melayari  laman sosial facebook, saya terpandang akan satu artikel yang berunsur jenaka yang berkaitan juga dengan pepatah-pepatah Melayu. Artikel itu telah dikongsi oleh beberapa kenalan facebook saya pada dinding facebook masing-masing. Pepatah yang telah diubahsuai itu diberi tajuk ‘Pepatah yang telah dipatahkan . Antara pepatah tersebut adalah seperti berikut :
    1)  Biar putih tulang, jangan kuning gigi
    2)  Sebab pulut santan binasa, sebab mulut habis pulut
Entah apa-apa yang mereka telah lakukan kepada pepatah Melayu ini. Sudah elok dan cantik orang-orang dahulu mencipta pepetah tersebut tetapi anak muda pada hari ini pula telah merosakkan pepatah tersebut. Suatu perkara yang amat menyedihkan. Pada pandangan saya, kita tidak seharusnya mengubah suai pepatah-pepatah tersebut kerana hal tersebut mencerminkan bahawa bahasa Melayu tidak mempunyai nilai dan masyarakatnya pula tidak membunyai adab sedangkan kita mengetahui bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan kita.
Keadaan menjadi lebih teruk apabila pepatah ini mula disebar melalui pelbagai medium daripada media massa. Kesan masa panjangnya, bahasa Melayu akan menjadi bahasa mainan semua orang jika tiada tindakan yang dilakukan bagi menyekat perkara ini. Marilah kita sama-sama fikirkan masa depan bahasa kebangsaan kita ini. Diharapkan kita tidak tergolong dalam golongan yang menjahanamkan bahasa ini.
“Bahasa Jiwa Bangsa”

Monday, March 25, 2013




بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada pembaca blog saya. Kali ini saya mahu berkongsi cerita mengenai satu paparan yang terpapar di laman sosial saya, iaitu laman muka buku atau facebook. Peristiwa ini berlaku kala saya mahu mencari sedikit informasi mengenai isu-isu semasa yang berkaitan dengan bahasa ibunda.
        Semasa memerhatikan setiap status yang dikemas kini oleh rakan-rakan saya, mata saya tiba-tiba terpandang kepada satu status yang ditulis oleh seorang sahabat lelaki saya. Statusnya tertulis “what the hell ! I hate u girls ! I can live without u!”. Status ini sangat kasar dan seeloknya tidak perlulah dipaparkan di dinding laman sosial ini kerana akan memberi impak yang negatif terhadapnya.
Pada pandangan saya, sahabat saya ini tidak seharusnya berkata sedemikian kerana kata-kata itu mempunyai makna yang kurang baik, iaitu “celaka! Aku benci kau perempuan! Aku boleh hidup tanpa kau!”.  Dalam masyarakat Melayu, perkataan itu merupakan satu kata kesat yang akan menyakitkan hati orang yang mendengarnya atau melihatnya. Justeru, kita seharusnya bersabar dan berjaga-jaga dalam melakukan apa-apa tindakan walaupun dalam keadaan yang marah. Kita harus peka dengan sensitiviti masyarakat di Malaysia.
 Situasi ini juga akan membuatkan masyarakat mula memandang rendah terhadap diri kita kerana kurangnya adab dan santun dalam berbahasa. Lebih-lebih lagi yang mengeluarkan perkataan tersebut daripada seorang lelaki berbangsa Melayu yang terkenal dengan sifat ramah-tamah dan berbudi bahasa. Hal ini secara tidak langsung telah mencalarkan imej tersebut. Diharap kepada pembaca tidaklah melakukan perkara seperti di atas demi menjaga meruah bangsa kita. Semoga kita dapat memuhasabah diri kita semua.
Sekian, perkongsian saya pada hari ini.

Friday, March 22, 2013




السلام عليكم 

Salam Jumaat buat semua pembaca sekalian. Diharapkan kalian bahagia dan tenang lebih-lebih lagi pada Penghulu Hari seperti hari ini. Baiklah, hari ini saya mahu bercerita mengenai “DIALEK”. Saya bukanlah seorang komentator yang hebat untuk mengkritik bahasa daerah negeri lain, tetapi saya hanya pemerhati yang sayangkan bahasa ibunda kita. Atas urusan tertentu, saya perlu berjumpa dengan seorang hamba Allah ini melalui sahabat saya yang datangnya dari negeri pantai timur. Kala berjumpa dengannya, saya perlu berkomunikasi dengannya. Masalahnya, saya tidak berapa memahami butir-butir bicaranya kerana beliau berkomunikasi dengan menggunakan dialek negerinya yang sangat pekat sehinggakan saya terpaksa menyuruhnya mengulangi butir-butir bicaranya. Nasib baiklah sahabat saya ini berasal dari negeri pantai timur, maka dialah yang membantu menterjemahkannya.

Berdasarkan situasi di atas, saya berasa perlu  untuk semua mahasiswa/i mencuba bertutur dengan menggunakan bahasa Melayu standard. Hal ini penting bagi usaha memartabatkan semula bahasa ibunda kita. Ia juga memudahkan proses komunikasi antara individu yang berasal dari negeri yang berlainan.

Berikut merupakan makna bagi perkataan dari negeri Kelantan yang sering digunakan dan membuatkan saya sedikit hilang fokus ketika menemu bual individu tersebut:
1.      Jolo doh tu = betul dah tu
2.      Kelik = pulang
3.      Timun = tembikai
4.      Saing = kawan
5.      Ambo = saya

Thursday, March 21, 2013



 السلامعليكم

Salam sejahtera buat semua pembaca. Kali ini saya mahu berkongsi kisah yang berlaku ketika saya berada di Kuala Lumpur tempoh hari. Saya baru teringat akan kejadian ini. Ketika itu saya dan seorang sahabat baru sahaja keluar dari restoran makanan segera. Saya melihat dua hingga tiga orang kanak-kanak Melayu Islam yang bertudung sedang memegang beberapa buah Kitab Surah Yasin. Saya melihat gelagat mereka. Mereka menjual kitab-kitab tersebut kepada orang awam dan meminta wang sebanyak RM1. Saya agak terkejut melihat situasi ini. Kemudian, datang seorang wanita korporat berbangsa India mendekati kanak-kanak tersebut. Dengan senyuman, wanita India tersebut bertanya siapakan yang menyuruh mereka menjual kitab-kitab tersebut. Namun, tiada jawapan. Kanak-kanak tersebut berlalu pergi meninggalkan wanita terbabit.
Berdasarkan keadaan di atas, saya berpendapat pasti ini kerja sindiket yang diketuai oleh orang dewasa. Saya berasa kasihan melihat kanak-kanak terbabit yang berpakaian agak comot dan kusam. Pada waktu yang sama juga, saya berasa kagum dengan wanita berbangsa India terbabit yang masih mempunyai sikap prihatin terhadap isu yang berlaku di sekitarnya.
Saya berharap masalah ini dapat diatasi oleh pihak berwajib. Tempat kanak-kanak tersebut adalah di sekolah untuk menuntut ilmu. Tempat mereka bukan di jalanan untuk bekerja.

*Bersyukurlah bagi mereka yang bernasib baik mempunyai keluarga yang bahagia

Wednesday, March 20, 2013



السلام عليكم 

Assalammualaikum dan salam sejahtera semua pembaca. Baiklah, hari ini saya mahu bercerita mengenai insiden yang berlaku kepada saya pada tengahari tadi. Sewaktu ingin membeli juadah makan tengahari, saya melalui kedai yang menjual produk pelangsingan badan di hadapan kampus. Disebabkan tubuh saya yang berisi ini, saya diberikan flyers mengenai produk tersebut. Dengan senyuman, saya mengambil flyers tersebut. Selepas membeli makanan di sebuah restoran, saya berniat mahu ke bangunan Bitarasiswa untuk ke bilik gerakan bagi menyelesaikan tugas-tugas kesetiausahaan yang masih terbengkalai. Saya melalui jalan yang sama seperti sebelum membeli makanan tadi. Tiba-tiba saya ditahan oleh penjual produk pelangsingan badan tadi dan dipujuk agar masuk ke kedai tersebut. Saya menurutinya. Di dalam kedai tersebut, saya diberi dengan pelbagai pengetahuan tentang produk kesihatan dan pelangsingan badan. Saya melihat testimoni pengguna-pengguna sebelum ini. Si penjual juga tidak segan-segan membuka cerita dengan mengatakan dahulu dia juga seorang yang berbadan besar, tiada dengan keyakinan diri dan pelbagai lagi. Saya hanya tersenyum dan tidak lama kemudian meminta izin untuk keluar keranan ada urusan yang perlu diselesaikan.

Berdasarkan keadaan di atas, saya dapat melihat bagaimana penjual tadi menggunakan ayat-ayat yang berunsurkan retorik pemujukan. Saya bakal cikgu bahasa Melayu, jadi saya faham akan situasi tadi. Mengenai produk tersebut, saya akui keberkesanannya berdasarkan testimoni tadi,tetapi saya masih belum mahu untuk mencubanya. Andai saya mahu memperoleh badan yang langsing, saya lebih suka menggunakan kaedah semulajadi, iaitu bersenam dan menjaga pemakanan. 
*Badan sihat, otak cerdas.

Tuesday, March 19, 2013



 السلام عليكم

Salam sejahtera buat semua pembaca. Hari ini saya mahu berkongsi satu kejadian yang berlaku sewaktu saya mahu membayar bil elektrik pagi tadi. Ketika tiba di pintu masuk pejabat pos tersebut, saya berselisih bahu dengan seorang lelaki tua yang umurnya dalam lingkungan lewat 50-an. Lelaki tua itu mahu keluar usai berurusan di pejabat pos tersebut. Tiba-tiba datang seorang remaja lelaki yang tergesa-gesa mahu masuk dan meluru ke kaunter di pejabat pos tersebut. Saya berasa pelik dengan sikapnya. Jam baru sahaja menunjukkan jam 3 petang. Masih berbaki lagi 2 jam seandainya dia mahu berurusan di kaunter. Saya terkesima seketika tatkala si remaja tadi dengan lagak bersahaja melanggar bahu lelaki tua tadi dan tanpa menoleh apatah lagi meminta maaf terus menuju ke kaunter. Si lelaki tua tadi hampir tersungkur di anak tangga di depan pintu pejabat pos tersebut.

Berdasarkan keadaan di atas, saya tertanya-tanya di manakah sikap hormat-menghormati dalam jiwa anak muda sekarang? Saya sedar, saya bukanlah siapa-siapa pun, namun atas dasar tanggungjwab saya amat sedih dan kesal kerana perkara sebegini masih berlaku. Saya beranggapan remaja lelaki itu tadi tidak akan rugi jikalau memohon maaf atau paling tidak pun menoleh dan mengangkat tangan kepada lelaki tua itu pun sudah cukup. Nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat pada hari ini semakin pudar. Salah siapakah ? 
*Mari kita renungkan bersama.

Monday, March 18, 2013



 السلامعليكم

Bertemu kembali para pembaca sekalian pada minggu baru ini. Di permulaan hari minggu ini, saya akan bercerita mengenai satu kejadian seluk saku yang berlaku di Kuala Lumpur usai saya mahu pulang ke Tanjong Malim selepas ke Universiti Malaya. Saya mahu bersiar-siar dan membeli-belah bersama-sama sahabat saya sebelum pulang ke bumi murabbi ini. Dalam perjalanan saya dari kedai ke kedai yang lain, saya terlihat dua orang gadis Muslimah yang baru keluar dari bit polis dengan wajah yang muram dan sedih. Lantas saya ringankan mulut bertanya akan apa yang telah berlaku. Kemudian, gadis tersebut mengatakan bahawa dirinya telah dirompak dan sambil airmatanya gugur jatuh ke bumi. Beliau kehilangan semua wang tunai dan kad pengenalan serta barang-barang peribadi dirinya, namun yang paling dikesali ialah gambar allahyarham ayahnya itu. Beliau tidak menyedarinya dan ini pasti kerja penyeluk saku. Beliau bernasib baik kerana dompet beliau ditemui tidak jauh dari bit polis usai mereka membuat laporan polis. Dompet duit tersebut kosong namun gadis tersebut berjaya menemui sekeping gambar allahyarham ayahnya. Saya hanya mampu mengucapkan kata-kata semangat dengan menyuruhnya bersabar. Gadis tersebut dan sahabatnya berlalu pergi dengan wajah yang sayu. 

Berdasarkan keadaan di atas, saya dapat simpulkan bagaimana ciri seorang insan yang mempunyai ilmu dan kesabaran serta insan yang tidak mempunyai ciri tersebut. Tutur kata dan bahasa yang dilontarkan mangsa seluk saku tadi amat memukau saya. Beliau redha dengan apa-apa yang berlaku terhadapnya. Walau wajahnya kelihatan muram, tetapi beliau masih petah berbicara dengan menggunakan bahasa yang elok dan sopan, jauh sekali mencaci mahupun memaki penyeluk saku tersebut. Maka, tidak hairanlah Allah memudahkan urusannya dengan menemukannya dengan dompet duitnya, walaupun telah kosong, namun gambar allahyarham ayahandanya masih ada. 



Friday, March 15, 2013



السلام عليكم 

Bertemu kembali pembaca blog sekalian. Baiklah, malam ini saya mahu berkongsi cerita mengenai satu insiden yang berlaku di hadapan saya sendiri ketika ingin membeli tudung di pasar raya di Tanjong Malim. Seorang ibu yang berusia awal 30-an sedang membelek-belek baju di pasar raya tersebut. Dia yang ditemani anaknya yang berusia lebih kurang 5 tahun leka memilih baju. Kemudian, anaknya menjatuhkan baju yang telah disangkut di atas deretan baju yang terdapat di penjuru pasar raya tersebut. Tanpa teragak-agak, si ibu tadi memarahi anaknya dengan nada yang sangat kuat sambil menampar pipi mulus si kecil itu. Si anak yang cuba meletakkan baju itu semula di penyangkutnya ditarik tangannya oleh si ibu dan dileret ke luar kedai.

Berdasarkan situasi di atas, saya beranggapan si ibu tadi tidak wajar memukul anak kecil itu dengan menamparnya. Perbuatan tersebut tidak sedap dipandang. Sewajarnya si ibu tadi menegur si anaknya dengan menyuruhnya meletakkan kembali baju yang sudah dijatuhkannya. Saya beranggapan si ibu terbabit mempunyai masalah dalaman lain sehinggakan anak kecilnya membuat silap yang boleh dikirakan sebagai kesilapan yang tidak disengajakan dipukul dan dijerkah di hadapan khalayak ramai.

Berikut merupakan tips-tips mengawal perasaan marah :

1.     Mengubah posisi tempat duduk
2.      Berwuduk
3.      Meminum air
4.      Mendiamkan diri
5.      Berlindung kepada Allah daripada hasutan syaitan ( Beristigfar)
6.      Salurkan rasa marah dengan bercerita kepada orang yang sesuai dan waktu yang tepat
7.      Berfikiran positif
8.      Menarik nafas
9.      Senyum

Thursday, March 14, 2013




 السلامعليكم

Salam sejahtera buat semua pembaca. Baiklah tanpa berceloteh dengan panjang lebar, saya berbesar hati mahu berkongsi satu situasi yang berlaku ketika saya berada di pintu timur sebentar tadi. Saya mahu ke Kolej Za’ba kerana mempunyai urusan organisasi di sana. Tiba-tiba saya terlihat seorang anak gadis yang wajahnya muram dan sedih sedang berjalan dengan pantas lantas duduk di sebelah saya sambil menjeling ke arah perhentian bas yang satu lagi. Saya ringankan mulut bertanya. Rupa-rupanya beliau tertinggal bas dan perlu menghantar tugasan ke kampus baru. Tetapi beliau bernasib baik kerana sedang beliau berbual-bual dengan saya, rakan sekelasnya datang menjemputnya menaiki kereta dan kebetulan mahu ke  kampus baru untuk menghantar tugasan tersebut.

Berdasarkan situasi di atas, jelas menunjukkan sikap profesional gadis tersebut. Sebenarnya, beliau cuba untuk menceriakan wajahnya dan tersenyum ketika kali pertama saya memulakan perbualan. Beliau juga menggunakan kata-kata manis dan tidak menyalahkan pemandu bas kerana tertinggal bas walaupun sudah melambai-lambai ke arah pemandu bas tersebut dari jauh. Beliau beranggapan tiada rezeki untuk menaiki bas tersebut.

Berikut merupakan tips untuk berfikiran positif :

1.      Sibukkan diri dalam usaha memperbaiki taraf hidup
2.      Lupakan masa lampau
3.      Berusaha menjadikan hari ini adalah hari yang paling bahagia
4.      Buang rasa atau sifat marah
5.      Rangsangkan diri dengan kata positif
6.      Elakkan bersikap pesimis
7.      Bertutur menggunakan perkataan yang positif






Wednesday, March 13, 2013



 السلامعليكم


Selamat datang ke blog saya para pembaca sekalian. Baiklah, hari ini saya mahu berkongsi mengenai satu situasi yang berlaku ketika saya dalam perjalanan ke Kuala Lumpur atas urusan mencari bahan rujukan di Universiti Malaya untuk tugasan. Saya menaiki bas dari pekan Tanjong Malim dan di dalam bas tersebut terdapat juga beberapa penumpang lain termasuklah sepasang gadis yang kedua-duanya berbangsa Cina yang duduk di kerusi hadapan saya di dalam bas. Pada mulanya saya berasa biasa sahaja ketika mereka berdua berbual sebelum bas bergerak walaupun agak kuat suara mereka. Namun, saya berasa terganggu kerana mereka tidak henti-henti berbual dalam nada yang kuat diselangi dengan gelak tawa sehinggalah 30 minit sebelum tiba ke destinasi, iaitu Hentian Pudu mereka berhenti berbual dan keadaan menjadi sunyi. Saya berasa pening dan sahabat saya juga berasa perkara yang sama.

Berdasarkan keadaan di atas, saya tidak meletakkan kesalahan kepada mereka berdua secara membuta tuli kerana saya faham budaya mereka yang biasanya akan bercakap dalam nada yang kuat. Namun, secara logiknya, mereka perlu berfikir secara dalam akan keadaan sekeliling mereka dan menyedari mereka berada dalam kenderaan awam. Tidak banyak yang saya minta, hanya menginginkan mereka merendahkan sedikit sahaja nada suara mereka dan mereka bebas untuk berbual-bual tidak kiralah selama mana yang mereka mahukan. Dari sudut yang lain pula, saya perlu belajar mendidik sifat sabra dalam diri saya agar tidak memarahi mereka pada ketika itu. Alhamdulillah saya mengawal perasaan marah saya. 

Tuesday, March 12, 2013



 السلامعليكم

Pada hari ini, saya suka untuk berkongsi satu kisah mengenai seorang penjaga kedai yang diupah tuannya untuk menjaga sebuah kedai runcit. Saya ingin membeli barang keperluan dapur dan mahu membeli serbuk kari untuk memasak apabila tamat kuliah. Saya ingin bertanya kepada gadis penjaga kedai tersebut, namun tidak berkesempatan kerana beliau asyik bercakap melalui telefon. Saya beranggapan beliau sedang bercakap dengan teman lelakinya berdasarkan lenggok badan dan nada manjanya. Saya yang mahu cepat ini pun menjadi lewat. Kebetulan seorang pensyarah dari fakulti saya mahu membeli barang di situ, namun gadis tersebut masih asyik bercakap di telefon. Lantas, si pensyarah tadi bertanya dengan nada yang agak keras dan tinggi, “Harga air ni berapa? Saya mahu bayar ni, ada kelas sekejap lagi”. Gadis tersebut mengerutkan dahi. Kemudian, seorang lelaki berketurunan Cina datang dan terus ke kaunter bayaran sambil berdiri di sebelah gadis tersebut. Gadis itu tadi kelam kabut. Di hadapan kami juga pemilik kedai berbangsa Cina itu memarahi gadis itu kerana asyik berbual di telefon. Tetapi, gadis itu tidak mengakui perbuatannya dan mengatakan ibunya menelefon dari kampung dan dia berkata kepada ibunya bahawa dia sedang bekerja serta perlu menghentikan perbualan. Saya berasa amat terkejut dan pensyarah tadi hanya mengeleng-gelengkan kepalanya serta berlalu pergi setelah membuat bayaran.
                                                                                                                                    
Baiklah, berdasarkan situasi di atas, saya berharap ianya tidak akan berlaku kepada saya jikalau saya sudah bekerja nanti. Saya beranggapan dalam menjalankan apa-apa pekerjaan sekalipun, kejujuran amat penting dan fokus diperlukan. Hal ini kerana hasil yang kita terima (gaji) akan menjadi darah daging kita. Maka, berhatilah-hatilah dalam mencari rezeki nanti dan biarlah hasil pendapatan yang kita peroleh itu halal dan bersih daripada perkara yang syubhah (ragu-ragu status halalnya).

Monday, March 11, 2013




السلام عليكم 

Salam pertemuan buat semua pembaca saya. Kali ini saya amat teruja untuk bersama-sama berkongsi satu kisah yang baru sahaja terjadi kepada saya sebentar tadi. Pagi tadi sebelum ke kuliah, saya sempat memasak nasi goreng dengan telur dadar. Sebagai seorang yang berketurunan Jawa, saya gemar memakan makanan yang pedas. Hendak dijadikan cerita, ketika sedang dalam kuliah, saya sakit perut dan perlu ke tandas. Setibanya di sana, saya melihat seorang wanita separuh usia yang boleh digelar “makcik” sedang membersihkan tandas dan berada di hadapan pintu tandas. Belum sempat saya berkata apa-apa, makcik tersebut melangkah setapak ke belakang dan mempersilakan saya masuk, saya bimbang akan kawasan lantai menjadi kotor dek kasut saya yang akan menapak di atas lantai yang sedang dibersihkannya. Makcik tersebut berkata tidak mengapa dan bersungguh-sungguh menyuruh saya masuk sambil menolak baldi berisi air sabun dan terkocoh-kocoh makcik tersebut berdiri di bahagian yang jauh sedikit.

Baiklah, berdasarkan situasi di atas, jelas menunjukkan makcik tersebut mempunyai akhlak yang sangat baik sehinggakan saya sendiri berasa serba salah kerana sepatutnya dan sewajarnya sayalah yang perlu meminta maaf dan memohon izin untuk masuk ke tandas kerana makcik tersebut sedang membersihkannya. Tetapi lain pula yang terjadi. Saya berasa kagum dengan wanita ini kerana dia amat menghormati orang lain walaupun saya jauh lebih muda daripadanya. Pada waktu yang sama juga tersentuh hati saya melihat telatah makcik tersebut. Sungguh, air mukanya menandakan dia seorang yang baik dan mempunyai wajah keibuan.

Berikut merupakan tips bagi membentuk akhlak yang mulia sesama manusia:

1. Berguru dengan guru yang mampu mendidik anda. Guru itu mestilah seorang yang bersih hatinya dan mantap agamanya.      

2. Berkawan dengan seorang yang baik lagi mantap agamanya. Sahabat anda itu boleh membantu anda untuk memperbaiki akhlak dan anda perlu menerima teguran ikhlas darinya.

3. Memanfaatkan komen-komen negatif dari musuh.

4. Mengambil iktibar dari kelemahan orang lain. Dalam pergaulan kadangkala anda akan melihat perangai dan sikap negatif orang lain. Ketika itu hendaklah anda menjadikan kelemahan orang itu sebagai kelemahan anda yang perlu anda perbaiki.

Sumber tips :  Dr. Danial bin Zainal Abidin, (M.B.Ch.B. Alexandria)
      Pengamal Perubatan & Pengurus Klinik Syifa,
                          Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy (M) Sdn Bhd.
                   Motivator Mutiara FM (Radio Malaysia Pulau Pinang)

Friday, March 8, 2013




السلامعليكم 

Apa khabar para pembaca semua? Saya berharap anda dalam keadaan yang baik-baik sahaja dan perjalanan urusan kalian hari ini berjalan dengan lancar. Kali ini, saya mahu membicarakan mengenai satu situasi yang berlaku kepada saya ketika berada di dalam sebuah bank di pekan. Ketika itu saya mengeluarkan wang bagi membeli keperluan dapur untuk minggu tersebut. Saya mengeluarkan wang berjumlah lapan puluh ringgit. Ketika itu, agak ramai juga yang berada di ruangan mesin ATM tersebut. Dalam keadaan yang sedikit kelam-kabut itu saya memasukkan wang dan kad bank di dalam dompet lantas terus keluar dari bank tersebut. Kemudian, seorang pemuda India memanggil saya, “Adik, ini wang kamu tercicir. Ambillah, RM50 ini banyak. Lain kali hati-hati, periksa dahulu dompet kamu, jangan tergesa-gesa sangat”.  Terkejut dan lega saya tatkala berhadapann dengan situasi tersebut. Alhamdulillah, Allah pertemukan saya dengan orang yang jujur, jika tidak, pasti sudah hangus duit saya diambilnya. Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih kepada pemuda terbabit sebelum pemuda tersebut hilang dari pandangan setelah memecut motosikalnya.

Baiklah, berdasarkan situasi tersebut, saya berasa amat bersyukur dan bertuah kerana ketika saya tidak sedar keciciran wang, pemuda terbabit dengan rasa jujur dan tanggungjawab memanggil dan memaklumkan kepada saya. Sikap tersebut sangat wajar dipuji lebih-lebih lagi, pemuda tersebut bukan daripada kalangan bangsa Melayu. Oleh hal yang demikian, saya berharap kita semua dapat menjadi masyarakat yang prihatin tanpa mengira bangsa. Pesanan buat diri saya juga.

~Itu sahaja untuk kali ini. Semoga berjumpa lagi~


السلامعليكم

Salam sejahtera kepada semua pembaca yang sedang menatap blog ini. Diharapkan anda sihat dan berada di bawah rahmat Allah swt. Baiklah, kali ini saya akan berkongsi mengenai satu situasi yang berlaku ketika saya berada di dalam kedai di hadapan kampus. Saya mahu membeli sebungkus nasi kerabu kerana sudah lama saya mengidamkannya, cuma masa sahaja yang mencemburui saya, pasti ada sahaja kekangan saya untuk membelinya. Pada hari itu, saya mahu membelinya. Dari jauh saya sudah melihat kelibat manusia beratur untuk membeli nasi kerabu milik pengusaha dari negeri Cik Siti Wan Kembang tersebut. Tetapi saya tetap meneruskan langkah kaki saya ke kedai tersebut. Panjang juga barisan ini, getus hati ini. Saya tetap menunggu dan terus menunggu. Kala tiba giliran saya untuk membeli, pemilik kedai tersebut hanya mampu tersenyum tawar dan memejamkan matanya beberapa kali seraya berkata, “Maaf dik, nasi kerabu sudah habis. Esok datang awal sikit ya. Makcik minta maaf sangat-sangat. Kesian kamu menunggu”. Saya hanya menelan air liur sahaja, respon kepada makcik tersebut, saya hanya tersenyum pahit dan berkata, “Tidak mengapalah makcik, bukan rezeki saya. InsyaAllah, esok saya datang awal sedikit. Terima kasih ya”.

Baiklah, berdasarkan perlakuan makcik tersebut, saya berasa kagum melihat dirinya. Ibu tua itu tetap menguntumkan senyuman dan berkata maaf kepada saya yang dikatakan kempunan mahu memakan nasi kerabu buatannya itu. Dalam keletihannya membungkus nasi kerabu, dia masih mampu memohon maaf beberapa kali kepada saya. Saya beranggapan kerana perlakuannya yang mencuba memberi layanan terbaik kepada pelanggannya itulah salah satu sebab nasi kerabunya digemari pelajar-pelajar universiti. Hubungan mesra antara makcik tersebut dengan para pelanggannya itu membuatkannya mempunyai pelanggan yang tetap, jika tidak, manakan panjang barisan pelanggan yang mahu membeli nasi kerabunya itu tiap-tiap hari. Namun, saya masih menunggu hari esok untuk membelinya. Saya berharap rezeki untuk saya pada hari esok.

~Sekian. Semoga berjumpa lagi di ruangan ini~


 عليكمالسلام

Khas buat tatapan umum para pembaca. Semoga anda berada dalam lembayung rahmat Allah swt. Kali ini saya mahu berkongsi satu situasi yang baru sahaja saya lalui. Bibir saya tidak lekang dengan senyuman jikalau memikirkannya. Situasinya bermula ketika saya mula duduk untuk berehat bersama-sama sahabat saya yang bernama Aminah dan Sumaiyah di pondok berhadapan dengan kawasan kolam air panas. Kami membuat program dan berehat sebentar sementara menunggu kedatangan bas untuk pulang ke universiti. Tiba-tiba datang sekumpulan anak-anak kecil yang dalam lingkungan lapan hingga sepuluh tahun bermain-main di hadapan pondok tempat kami berehat. Saya cuba menyapa mereka dan berbual-bual kosong. Mereka bertanya saya dan sahabat-sahabat saya berasal dari negeri mana, belajar di mana dan apakah cita-cita kami. Saya memberitahu mereka bahawa kami bertiga akan menjadi seorang guru. Lantas, mereka bersalaman dengan kami dan membuat gaya tangan ke dahi seperti gaya seorang polis mengangkat tabik hormat apabila berjumpa rakan senior mereka dalam skuad polis. Kami bertiga hanya mampu tertawa seraya menepuk-nepuk bahu anak-anak kecil tersebut. Secara automatiknya, mereka menggelar kami dengan panggilan “cikgu”. Kala bas sudah tiba, anak-anak tersebut menjerit sambil berkata “selamat tinggal cikgu, jumpa lagi”. Saya berasa amat tersentuh dan berfikir sejenak, adakah ini perasaan dan naluri seorang guru terhadap anak-anak muridnya kala sudah mengajar di sekolah nanti? Saya hanya membiarkan persoalan itu berlegar di ruang fikiran sambil melihat anak-anak tersebut melambaikan tangannya ke arah kami dari luar bas universiti.

Baiklah, pembaca yang saya sayangi, situasi di atas membuktikan bahawasanya anak-anak kecil juga mempunyai rasa hormat terhadap orang yang lebih tua daripada mereka. Sikap ini wajar dicontohi dan diamalkan. Bukankah amalan hormat-menghormati amat digalakkan dalam hidup bermasyarakat? Jadi, marilah kita bersama-sama mengamalkannya.

Saya sertakan juga ciri-ciri dan cara-cara untuk menghormati orang lain dalam kehidupan seharian kita. Jangan lupa baca dan amalkannya.

Ciri-ciri orang yang mempunyai rasa hormat dalam diri

1. Bekerjasama tanpa mengira mengira kaum, agama, darjat, harta dan pangkat.
2. Memberi layanan mesra, sopan dan memberi penghormatan kepada orang lain
3. Menghargai budi, jasa, pendapat dan kebolehan orang lain

Cara-cara mengamalkan budaya hormat-menghormati

1. Tidak memperkecilkan/merendah-rendahkan kebolehan orang lain
2. Mewujudkan persefahaman dan kerjasama 
3. Melatih dari supaya berkelakuan sopan 
4. Menyedari hidup dilingkumi undang-undang 
5. Melatih diri supaya tidak emosional 

~Semoga berjumpa lagi~


السلامعليكم 

Khas buat pembaca, saya mahu berkongsi satu situasi yang berlaku ketika saya berada di dalam komuter. Pada waktu itu, saya mahu ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) kerana mahu berjumpa dengan kakak kandung saya yang baru datang dari kampung. Pada waktu tersebut datang seorang lelaki yang boleh digelar sebagai “pakcik” menegur saya yang sedang duduk disebelahnya. Pakcik tersebut bertanya, “Saya boleh turun di mana ya? Saya mahu menaiki bas di Puduraya.” Saya yang agak arif dengan laluan komuter ini pun dengan tenang menjawab, “Pakcik boleh turun di Stesen Plaza Rakyat. Dari sana, pakcik ikut sahaja laluan yang menyambungkannya ke Stesen Bas Puduraya”. Namun, pakcik tersebut dengan nada yang agak keras membalas penerangan saya, “Aku mahu turun di Puduraya, yang ada bas, aku mahu jumpa anakku, bukannya di Plaza Rakyat”. Saya membalas dengan nada yang agak terketar-ketar, “Ya, pakcik boleh berjumpa dengan anak pakcik dengan menaiki bas di Stesen Puduraya”. Usai tiba di stesen Plaza Rakyat, saya menyuruh pakcik tersebut turun di sana. Dengan senyuman yang kelat, saya berkata di dalam hati, moga pakcik bertemu dengan anak pakcik ya.

Baiklah pembaca, berdasarkan situasi di atas. Sifat sabar amat diperlukan. Saya bukannya mahu mengaibkan pakcik tersebut, tiada langsung niat yang sebegitu rupa. Namun, saya hanya mahu mengambil contoh terdekat akan keadaan yang berlaku di sekeliling kita. Perlakuan pakcik tersebut kalau boleh dielakkan, hendaklah dielak. Adab-adab dalam proses komunikasi atau bertanya amat perlu untuk dititikberatkan. Saya tidak berkata bahawa saya seorang yang sabar, mungkin Allah pinjamkan sedikit perasaan sabar itu, maka saya boleh menghadapi situasi tersebut. Jikalau saya seorang yang mudah melenting, pasti akan berlaku kekecohan pada waktu itu. Nauzubillah, minta dijauhkan. Saya berharap pembaca semua dapat mengambil teladan daripada kisah ini.

Saya juga sertakan sekali adab-adab bertanya untuk perkongsian kita bersama :
a) Memberi salam sebelum bertanya
b) Apabila bertanya, gunakanlah bahasa-bahasa yang baik dan sopan
c) Bertanyalah dengan ikhlas
d) Mengucapkan terima kasih
e) Meminta izin sebelum bertanya
f) Bertanya perkara yang munasabah
g) Pertanyaan itu tidak menyinggung perasaan orang lain



~Semoga bertemu lagi~



السلامعليكم 

Apa khabar pembaca semua? Kali ini, saya mahu berkongsi mengenai satu situasi yang dialami saya ketika berada di dalam bas sewaktu perjalanan ke Stesen Puduraya. Seorang gadis bertudung merah jambu yang duduk di sebelah saya menegur saya ketika bas sedang melalui laluan ke Pasar Seni. Si gadis bertanya sama ada destinasi terakhir bas yang dinaikinya akan ke Stesen Puduraya atau sebaliknya. Dengan menguntum seukir senyuman, saya membalas, “Ya, saudari, bas ini akan ke sana sebagai destinasi terakhir”. Si gadis membalas, “Terima kasih kak. Saya tidak biasa dengan keadaan di sini. Maklumlah, saya baru dua bulan belajar di Perak. Saya mahu pulang ke kampung di Johor dan inilah kali pertama saya pulang selepas dua bulan berada di bumi Perak.

Baiklah, pembaca, apakah yang dapat diperoleh berdasarkan situasi di atas? Pertama, si gadis tersebut mempunyai akhlak yang sangat baik. Jikalau tidak tahu tentang sesuatu perkara, moleklah sekiranya bertanya, jikalau malu, sesatlah jalan. Akhlak si gadis tersebut boleh dipuji lebih-lebih dengan mengucapkan perkataan “terima kasih”. Sungguh, saya berasa amat dihargai. Walaupun pertolongan saya kepada si gadis tersebut hanya dengan menyebut perkataan, “Ya”, tetapi bagi si gadis itu amat bermakna. Yalah, sebagai seorang yang masih baru berjauhan dengan keluarga dan berada di perantauan, dia amat memerlukan insan yang boleh membantunya di sekelilingnya. Tambahan pula, jikalau kita membantu orang lain, kita juga akan memperolehi ganjaran pahala dan urusan kita juga akan dipermudahkan. Jikalau niat untuk membuat kebaikan sahaja sudah memperoleh pahala, jikalau sudah melaksanakannya, pasti berlipat kali ganda.  Dengan izin Allah, saya juga mahu mempraktikkan amalan berterima kasih ini dalam kehidupan seharian saya.
Daripada Abu al-Abas Abdullah bin Abas bin Abdul Mutalib RA daripada Rasulullah SAW dalam apa yang  diriwayatkan daripada tuhannya (Hadith Qudsi) Allah SWT sabdanya : “Sesungguhnya Allah mencatitkan semua kebaikan dan semua kejahatan kemudian Allah menjelaskan, sesiapa yang berniat hendak melakukan kebaikan tetapi tidak dikerjakannya maka Allah mencatitkan untuknya satu pahala dan jika dia berniat hendak melakukan kebaikan lalu dikerjakannya maka Allah mencatitkan untuknya sepuluh (pahala) hingga tujuh ratus kali ganda atau lebih. Sesiapa yang berniat hendak melakukan sesuatu kejahatan, tetapi tidak dikerjakannya Allah mencatitkan untuknya satu pahala dan jika dia berniat hendak melakukan kejahatan kemudian dilakukannya Allah mencatitkan untuknya satu dosa.”

~Baiklah,sampai bertemu lagi~




بسم الله الرحمن الرحيم


Assalammualaikum buat semua pembaca. Ucapan salam sejahtera juga kepada pembaca yang bukan Muslim. Sebagai pembuka tirai blog saya, saya akan berbicara mengenai “cinta”. Pada pendapat saya, cinta itu luas skopnya. Jangan pernah berhenti untuk menyintai sesuatu. Mengapa? Hal ini kerana dengan cinta, kita mampu melakukan apa-apa sahaja, dengan izin Allah swt. Perkara ini sama juga dengan niat saya membuka laman blog ini, nawaitu mahu berkongsi apa-apa sahaja ilmu yang dimiliki. Sebenarnya sudah dua tahun lepas saya membuka laman blog ini, namun masih tiada kekuatan untuk saya berkongsi apa-apa yang bermanfaat di laman blog ini, tapi kini, saya berazam mahu "bercinta" dengan laman blog ini, mana tahu saya boleh memaksimumkan dan menajamkan lagi teknik penulisan saya. Sebenarnya, pernah juga saya berangan-angan mahu menjadi seorang novelis. Tetapi entahlah, mungkin masa yang tepat belum sampai lagi.  Saya bukanlah insan yang hebat dalam berbicara atau tinggi ilmunya. Namun, sebagai hamba Allah, muslimah dan insan yang gemar dan “cinta” akan ilmu saya harus memanfaatkan blog ini sebagai medium untuk melangkah lebih maju lagi.



InshaAllah, dengan izin Allah swt, saya mahu meneruskan  coretan dan bingkisan di laman blog ini. Saya berharap akan dapat terus menyebarkan apa-apa sahaja yang bermanfaat buat para pembaca pada masa akan datang.
Salam undur diri. Semoga berjumpa lagi. 

~Jika kita selalu fikir akan masa depan, tapi jangan kita lupa akan 'hari esok'. ~

 "..dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa sahaja yang telah dilakukan untuk hari esok (akhirat).."[al-Hasyr 59:18-19]