Friday, April 5, 2013



بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca yang saya kasihi sekalian. Pada kali ini saya ingin berkongsi satu situasi yang semua orang tidak mahu berlaku kepada diri mereka. Situasi yang saya maksudkan ialah kejadian ragut. Kejaian ragut ini semakin meningkat dari hari ke hari dan sekarang berada pada tahap yang membimbangkan.
Hari ini semasa saya berada di bilik kuliah, saya dan kawan-kawan sempat berkongsi cerita berkenaan pengalaman hidup mereka. Salah seorang kawan saya, iaitu Syarifah telah berkongsi pengalamannya diragut ketika sedang menutup pintu pagar rumahnya ketika mahu keluar untuk ke kuliah. Sungguh saya tidak menyangka kejadian tersebut berlaku kepada rakan saya sendiri. Memang kejadian ragut ini semakin berleluasa dan patut diambil tindakan oleh pihak berkuasa tempatan.
Pada pandangan saya, manusia pada masa ini tidak lagi mengamalkan nilai-nilai positif dalam kehidupan mereka. Mereka banyak melakukan jenayah dan perkara yang tidak baik untuk terus hidup. Seperti situasi di atas, segelintir manusia mengambil jalan mudah untuk mendapatkan wang dengan melakukan jenayah ragut.
Mereka tidak lagi mempedulikan orang lain, apa yang penting bagi mereka ialah mendapatkan duit walau dengan apa cara sekalipun. Walau bagaimanapun, saya juga berharap agar pihak berkuasa seperti polis dapat mengambil tindakan yang sewajarkan bagi membendung kegiatan jenayah sebegini agar masyarakat lain tidak menjadi mangsa di samping mengurangkan kadar jenayah di negara ini.
Cadangan saya ialah hukuman yag sangat berat harus dikenakan kepada penjenayah yang terlibat dengan kegiatan ini supaya kejadian ini tidak berulang dan memberi peringatan kepada orang ramai yang mahu melakukan jenayah ini. Saya berharap saya dijauhkan daripada perkara seperti ini. Dengan izin-Nya. Sekian sahaja perkongsian saya buat kali ini. Terima kasih kerana sudi membaca paparan di blog “Bicara Qalbu”.

Thursday, April 4, 2013



بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca sekalian. Situasi yang saya ingin kongsikan pada kali ini berkenaan perangai sebilangan mahasiswa/i semasa berada di perpustakaan. Situasi ini berlaku semasa saya berada di Perpustakaan Tuanku Bainun untuk mencari bahan rujukan untuk menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah.

Semasa berada di dalam perpustakaan, saya terus mencari buku di bahagian hujung rak. Berhampiran dengan tempat yang saya duduk, terdapat sekumpulan pelajar sedang membuat perbincangan. Apa yang saya lihat ialah suasana yang agak bising dengan celoteh dan gelak tawa daripada mereka dan keadaan tidak seolah-olah tidak seperti berada di perpustakaan. Saya tidak berasa hairan andai mereka duduk di bilik 24 jam kerana di bilik tersebut suasana agak bising dan dibenarkan membawa makanan atau minuman. Tetapi, pada waktu tersebut mereka berada di bahagian dalam perpustakaan.

Mereka langsung tidak menghiraukan pelajar-pelajar lain di sekeliling yang turut berada di perpustakaan tersebut. Apa yang saya agak terkilan, mereka semua merupakan mahasiswa/i yang mempunyai pemikiran yang sangat matang. Sebagai seorang pelajar ataupun mahasiswa/i, kita seharusnya faham mengenai etika semasa berada di dalam perpustakaan.

Kita harus mematuhi peraturan yang telah ditetapkan iaitu tidak membuat bising sewaktu berada di perpustakaan. Namun demikian, perkara ini mungkin diambil mudah oleh pelajar berkenaan sehingga mereka lupa dan mengabaikan nilai dan tanggungjawab mereka sewaktu berada di dalam perpustakaan. Keadaan ini akan menimbulkan masalah kepada orang ramai sekiranya masalah sebegini tidak dibendung.

Keadaan yang sepatutnya senyap ketika di dalam perpustakaan bagi memberi keselesaan kepada pelajar-pelajar untuk belajar telah diganggu oleh anasir-anasir yang kurang baik. Di harap perkara tersebut tidak akan berlaku lagi.

“Hormatilah orang lain dan Inshaallah, kita juga akan dihormati.

Sekian sahaja tulisan saya buat kali ini. Terima kasih kerana sudi membaca paparan di blog “Bicara Qalbu”.

Wednesday, April 3, 2013



بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca blogku.
Pada malam ini, saya ingin berkongsi sebuah situasi. Saya agak jarang untuk mendengar radio tetapi usai mengemas rumah, saya duduk bersantai sambil mendengar radio. Penat juga saya mendengar celoteh penyampai radio Hot Fm yang sibuk membualkan isu berkenaan alam sekitar.
Ternyata tahap kesedaran  rakyat Malaysia berkenaan kepentingan menjaga alam sekitar berada pada tahap yang rendah sekali. Manusia alpa dengan keindahan alam yang harus dijaga sehinggakan  alam sekitar megalami kepupusan dari segi flora dan faunanya. Apa yang menarik, penyampai radio tersebut mengkritik hebat golongan manusia yang kejam terhadap alam sekitar sambil menyelitkan unsur lelucon agar tidak menyinggung mana-mana pihak. Saya tertarik dengan gaya penyampaiannya yang tersendiri namun mesej yang ingin disampaikan amat terkesan di dalam hati.
Pada pendapat saya, gaya penyampai radio yang bijak menyampaikan sesuatu maklumat sambil menyelitkan unsur gurauan mampu menarik minat pendengar dibandingkan dengan membaca majalah, surat khabar dan buku ilmiah. Boleh dikatakan percakapan atau cara berkomunikasi yang baik boleh mempengaruhi minda dan tingkah laku seseorang. Penyampai radio terebut tidak lain dan tidak bukan ialah Farah Fauzana.
 Dengan cara penyampaiannya, mesej yang disampaikannya amat berhemah dan tidak menyingung perasaan pendengar. Maka, kita sebagai pendengar juga boleh mengambil contoh yang baik dengan mengaplikasikan cara Fara Fauzana menyampaikan mesej tersebut. Tidak salah meniru tindakannya asalkan memenuhi norma-norma yang betul sebagai individu yang hidup bermasyarakat.
Sekian sahaja untuk malam ini. Selamat malam.

Tuesday, April 2, 2013



بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca blogku. Baiklah pada hari ini, saya ingin berkongsi satu kisah yang diceritakan oleh seorang ustaz yang berasal dari Thailand. Menurut cerita ustaz ini, pada masa dahulu bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa yang berpengaruh besar dan sangat meluas di Siam.
 Selepas Tanah Melayu mengecapi kemerdekaan, ustaz tersebut sangat bangga kerana melihat bahasa Melayu telah diangkat menjadi bahasa kebangsaan negara Malaysia. Begitu juga dengan di Indonesia dan Singapura. Bahasa Melayu masih lagi diangkat dan masih lagi diktiraf. Kini, apa yang menyedihkannya, bahasa Melayu tidak lagi diktiraf di Thailand, malahan bahasa Melayu dianggap bahasa asing dan tidak diterima di Thailand.
Perkara yang lebih teruk lagi, sekolah-sekolah yang bahasa Melayu turut dihapuskan. Bagi melindungi bahasa Melayu, sekolah-sekolah tersebut diubah menjadi sekolah agama tetapi sebenarnya masih menggunakan bahasa Melayu.
Begitulah cerita ustaz itu. Saya yang mendengar cerita tersebut mula terfikir, bagaimanalah keadaan di Malaysia pada masa depan? Adakah dalam masa 50 tahun lagi, warga Kuala Lumpur akan menangis jika mendengar bahasa Melayu? Adakah sudah cukup patriotikkah rakyat Malaysia ini? Sama-samalah kita renungkan.
Sekian saja bingkisan cerita saya pada kali ini. Semoga membuka pandangan yang luas kepada anda semua. Terima kasih.

Monday, April 1, 2013



بسم الله الرحمن الرحيم
Assalammualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca blog saya, semoga sihat-sihat hendaknya. Baiklah pada hari ini, saya ingin berkongsi mengenai masalah kebersihan. Umum mengetahui kebersihan itu sebahagian daripada iman. Namun, apa yang  merungsingkan fikiran saya ialah kegiatan membuang sampah merata-rata kini menjadi gaya hidup yang biasa dalam kalangan masyarakat di Malaysia sehinggakan ada pelancong Jepun pernah berkata rakyat Malaysia tidak sayangkan negara sendiri .
Situasi pada kali ini berlaku ketika saya mahu ke kelas di kampus lama. Dalam perjalanan, saya yang menunggang basikal ini, terpaksa mengekori belakang sebuah kereta Viva berwarna hitam. Namun, sedang asyik menunggang basikal, tiba-tiba saya ternampak satu beg plastik terbang ke arah saya secara tiba-tiba.
Alhamdulillah, saya sempat mengelaknya. Berdasarkan pemerhatian saya, saya mendapati bahawa salah seorang penumpang di dalam kereta tersebut telah membuang sampah melalui tingkap kereta itu. Dengan perasaan tidak bersalah dia telah melakukan kesalahan yang agak berat kerana membuang sampah merata-rata. Siapa yang hendak mengutip sampah yang dia buang tadi. Pakaian saya juga sedikit basah kerana penumpang kereta tersebut membuang plastik minuman yang masih suam dan berisi air kopi. Saya berasa sedikit marah, namun ditahan jua perasaan itu.
Konklusinya, kita sebenarnya tidak boleh membuang sampah merata-rata kerana akan menyebabkan persekitaran kotor dan kadang-kadang boleh mendatangkan kemudaratan seperti penyakit. Dalam hal ini, masyarakat dikatakan tidak mempunyai nilai sivik yang tinggi kerana bertindak membuang sampah ke luar kenderaan tanpa mengambil kira pengguna jalan raya yang lain. Justeru, saya menyeru pelbagai pihak supaya sedar dan waspada terhadap tindakan yang tidak berpedoman seperti membuang sampah merata-rata. Simpanlah sementara sampah tersebut sehingga tiba di tempat buang sampah yang sepatutnya. Bukannya payah sangat. Sama-samalah kita berganding bahu menjaga kebersihan negara kita demi kesejahteraan bersama.
Sekian, coretan saya pada hari ini. Semoga berjumpa lagi di blog “Bicara Qalbu” pada esok hari. Selamat malam.

Friday, March 29, 2013



بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Semoga berada dalam keadaan sihat sejahtera. Baiklah, pada hari ini, saya ingin berkongsi akan satu isu yang berkaitan dengan politik. Semasa saya membuka komputer riba saya untuk membuat tugasan, saya sempat membuka laman sosial ‘Facebook’ untuk mengetahui mengenai perkara-perkara dan isu-isu semasa.
Sewaktu asyik membuat tinjauan, saya telah terjumpa satu video mengenai perhimpunan yang diadakan oleh para pembangkang kerajaan. Dalam keriuhan berhimpun, terdapat beberapa suara-suara sumbang yang berbunyi “ polis anjing UMNO, polis anjing UMNO”. Ayat tersebut dilaungkan secara beramai-ramai sebanyak beberapa kali. Sangat kasar laungan tersebut untuk kita semua mendengarnya.
Walaupun kita tidak menyokong mana-mana pimpinan, kita seharusnya tidak mengeluarkan kata-kata kesat sebegitu kepada pihak yang tidak bersalah. Mengapakah mereka melaungkan perkataan sedemikian rupa ? Adakah selama ini polis dianggap seperti anjing atau tugas mereka sebenarnya adalah menjaga keselamatan dan keharmonian negara sedangkan sudah banyak jasa polis yang ditaburkan demi menjaga kesejahteraan dan keharmonian negara kita ini.
Dalam hal ini, kita tidak sepatutnya berkelakuan sebegitu rupa kerana akan membuatkan masyarakat luar memandang serong terhadap kelakuan masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu. Sudahlah perhimpunan tersebut dilakukan di kawasan terbuka dan boleh disaksikan oleh semua orang sama ada orang tempatan mahupun luar negara. Bukan berniat untuk menyokong mana-mana parti, sekadar mahu berkongsi gelagat sesetengah pihak. Pada pendapat saya, cara terbaik untuk menasihati atau mengkritik orang lain adalah dengan menggunakan bahasa yang santun dan tidak menggunakan nada yang tinggi. Sama-samalah kita renung dan fikir.
Sekian, kita berjumpa lagi pada paparan yang seterusnya. Selamat malam.  

Thursday, March 28, 2013



بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada anda semua, pembaca sekalian. Kali ini saya ingin berbicara mengenai makanan. Memang sangat sedap jika dapat menjamu makanan yang panas-panas ketika cuaca sejuk, Maklumlah sedang musim hujan, pasti perut akan berasa lapar.
Disebabkan perut yang agak kelaparan, saya singgah di sebuah gerai di tepi jalan berhampiran depan kampus untuk membeli kuih sebagai kudapan waktu petang. Semasa saya sedang sibuk memilih untuk membeli kuih, datang seorang lagi pembeli lain dan dia bertanya kepada penjual “ Makcik, goreng pisang ada tak?”.
Sebagai pelajar yang mengambil program Pendidikan Bahasa Melayu, saya hanya mampu tersenyum dan mengelengkan kepala kerana pelajar terbabit menggunakan bahasa Melayu yang salah. Penggunaan perkataan “ goreng pisang” adalah salah kerana melanggar hukum D-M. Hal ini demikian kerana dalam hukum D-M, perkara yang diterangkan haruslah hadir dahulu sebelum perkara yang menerangkan. Dalam hal ini, ‘goreng’  merupakan perkataan yang menerangkan tentang ‘pisang’. Perkataan sebenar ialah pisang goreng.
Jika perkataan ‘goreng’ dihadapankan, frasa tersebut merupakan frasa kerja bukannya kata nama. Yang musykilnya, kenapa tiada orang menyebut ‘goreng nasi’? Pandai pula hendak menyebutnya dengan betul ‘nasi goreng’. Jadi sama-samalah kita fikirkan dan cuba untuk menuturkan bahasa Melayu yang sebetulnya.
Sekian, coretan saya pada hari ini. Selamat malam.