Friday, March 8, 2013



 عليكمالسلام

Khas buat tatapan umum para pembaca. Semoga anda berada dalam lembayung rahmat Allah swt. Kali ini saya mahu berkongsi satu situasi yang baru sahaja saya lalui. Bibir saya tidak lekang dengan senyuman jikalau memikirkannya. Situasinya bermula ketika saya mula duduk untuk berehat bersama-sama sahabat saya yang bernama Aminah dan Sumaiyah di pondok berhadapan dengan kawasan kolam air panas. Kami membuat program dan berehat sebentar sementara menunggu kedatangan bas untuk pulang ke universiti. Tiba-tiba datang sekumpulan anak-anak kecil yang dalam lingkungan lapan hingga sepuluh tahun bermain-main di hadapan pondok tempat kami berehat. Saya cuba menyapa mereka dan berbual-bual kosong. Mereka bertanya saya dan sahabat-sahabat saya berasal dari negeri mana, belajar di mana dan apakah cita-cita kami. Saya memberitahu mereka bahawa kami bertiga akan menjadi seorang guru. Lantas, mereka bersalaman dengan kami dan membuat gaya tangan ke dahi seperti gaya seorang polis mengangkat tabik hormat apabila berjumpa rakan senior mereka dalam skuad polis. Kami bertiga hanya mampu tertawa seraya menepuk-nepuk bahu anak-anak kecil tersebut. Secara automatiknya, mereka menggelar kami dengan panggilan “cikgu”. Kala bas sudah tiba, anak-anak tersebut menjerit sambil berkata “selamat tinggal cikgu, jumpa lagi”. Saya berasa amat tersentuh dan berfikir sejenak, adakah ini perasaan dan naluri seorang guru terhadap anak-anak muridnya kala sudah mengajar di sekolah nanti? Saya hanya membiarkan persoalan itu berlegar di ruang fikiran sambil melihat anak-anak tersebut melambaikan tangannya ke arah kami dari luar bas universiti.

Baiklah, pembaca yang saya sayangi, situasi di atas membuktikan bahawasanya anak-anak kecil juga mempunyai rasa hormat terhadap orang yang lebih tua daripada mereka. Sikap ini wajar dicontohi dan diamalkan. Bukankah amalan hormat-menghormati amat digalakkan dalam hidup bermasyarakat? Jadi, marilah kita bersama-sama mengamalkannya.

Saya sertakan juga ciri-ciri dan cara-cara untuk menghormati orang lain dalam kehidupan seharian kita. Jangan lupa baca dan amalkannya.

Ciri-ciri orang yang mempunyai rasa hormat dalam diri

1. Bekerjasama tanpa mengira mengira kaum, agama, darjat, harta dan pangkat.
2. Memberi layanan mesra, sopan dan memberi penghormatan kepada orang lain
3. Menghargai budi, jasa, pendapat dan kebolehan orang lain

Cara-cara mengamalkan budaya hormat-menghormati

1. Tidak memperkecilkan/merendah-rendahkan kebolehan orang lain
2. Mewujudkan persefahaman dan kerjasama 
3. Melatih dari supaya berkelakuan sopan 
4. Menyedari hidup dilingkumi undang-undang 
5. Melatih diri supaya tidak emosional 

~Semoga berjumpa lagi~


السلامعليكم 

Khas buat pembaca, saya mahu berkongsi satu situasi yang berlaku ketika saya berada di dalam komuter. Pada waktu itu, saya mahu ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) kerana mahu berjumpa dengan kakak kandung saya yang baru datang dari kampung. Pada waktu tersebut datang seorang lelaki yang boleh digelar sebagai “pakcik” menegur saya yang sedang duduk disebelahnya. Pakcik tersebut bertanya, “Saya boleh turun di mana ya? Saya mahu menaiki bas di Puduraya.” Saya yang agak arif dengan laluan komuter ini pun dengan tenang menjawab, “Pakcik boleh turun di Stesen Plaza Rakyat. Dari sana, pakcik ikut sahaja laluan yang menyambungkannya ke Stesen Bas Puduraya”. Namun, pakcik tersebut dengan nada yang agak keras membalas penerangan saya, “Aku mahu turun di Puduraya, yang ada bas, aku mahu jumpa anakku, bukannya di Plaza Rakyat”. Saya membalas dengan nada yang agak terketar-ketar, “Ya, pakcik boleh berjumpa dengan anak pakcik dengan menaiki bas di Stesen Puduraya”. Usai tiba di stesen Plaza Rakyat, saya menyuruh pakcik tersebut turun di sana. Dengan senyuman yang kelat, saya berkata di dalam hati, moga pakcik bertemu dengan anak pakcik ya.

Baiklah pembaca, berdasarkan situasi di atas. Sifat sabar amat diperlukan. Saya bukannya mahu mengaibkan pakcik tersebut, tiada langsung niat yang sebegitu rupa. Namun, saya hanya mahu mengambil contoh terdekat akan keadaan yang berlaku di sekeliling kita. Perlakuan pakcik tersebut kalau boleh dielakkan, hendaklah dielak. Adab-adab dalam proses komunikasi atau bertanya amat perlu untuk dititikberatkan. Saya tidak berkata bahawa saya seorang yang sabar, mungkin Allah pinjamkan sedikit perasaan sabar itu, maka saya boleh menghadapi situasi tersebut. Jikalau saya seorang yang mudah melenting, pasti akan berlaku kekecohan pada waktu itu. Nauzubillah, minta dijauhkan. Saya berharap pembaca semua dapat mengambil teladan daripada kisah ini.

Saya juga sertakan sekali adab-adab bertanya untuk perkongsian kita bersama :
a) Memberi salam sebelum bertanya
b) Apabila bertanya, gunakanlah bahasa-bahasa yang baik dan sopan
c) Bertanyalah dengan ikhlas
d) Mengucapkan terima kasih
e) Meminta izin sebelum bertanya
f) Bertanya perkara yang munasabah
g) Pertanyaan itu tidak menyinggung perasaan orang lain



~Semoga bertemu lagi~



السلامعليكم 

Apa khabar pembaca semua? Kali ini, saya mahu berkongsi mengenai satu situasi yang dialami saya ketika berada di dalam bas sewaktu perjalanan ke Stesen Puduraya. Seorang gadis bertudung merah jambu yang duduk di sebelah saya menegur saya ketika bas sedang melalui laluan ke Pasar Seni. Si gadis bertanya sama ada destinasi terakhir bas yang dinaikinya akan ke Stesen Puduraya atau sebaliknya. Dengan menguntum seukir senyuman, saya membalas, “Ya, saudari, bas ini akan ke sana sebagai destinasi terakhir”. Si gadis membalas, “Terima kasih kak. Saya tidak biasa dengan keadaan di sini. Maklumlah, saya baru dua bulan belajar di Perak. Saya mahu pulang ke kampung di Johor dan inilah kali pertama saya pulang selepas dua bulan berada di bumi Perak.

Baiklah, pembaca, apakah yang dapat diperoleh berdasarkan situasi di atas? Pertama, si gadis tersebut mempunyai akhlak yang sangat baik. Jikalau tidak tahu tentang sesuatu perkara, moleklah sekiranya bertanya, jikalau malu, sesatlah jalan. Akhlak si gadis tersebut boleh dipuji lebih-lebih dengan mengucapkan perkataan “terima kasih”. Sungguh, saya berasa amat dihargai. Walaupun pertolongan saya kepada si gadis tersebut hanya dengan menyebut perkataan, “Ya”, tetapi bagi si gadis itu amat bermakna. Yalah, sebagai seorang yang masih baru berjauhan dengan keluarga dan berada di perantauan, dia amat memerlukan insan yang boleh membantunya di sekelilingnya. Tambahan pula, jikalau kita membantu orang lain, kita juga akan memperolehi ganjaran pahala dan urusan kita juga akan dipermudahkan. Jikalau niat untuk membuat kebaikan sahaja sudah memperoleh pahala, jikalau sudah melaksanakannya, pasti berlipat kali ganda.  Dengan izin Allah, saya juga mahu mempraktikkan amalan berterima kasih ini dalam kehidupan seharian saya.
Daripada Abu al-Abas Abdullah bin Abas bin Abdul Mutalib RA daripada Rasulullah SAW dalam apa yang  diriwayatkan daripada tuhannya (Hadith Qudsi) Allah SWT sabdanya : “Sesungguhnya Allah mencatitkan semua kebaikan dan semua kejahatan kemudian Allah menjelaskan, sesiapa yang berniat hendak melakukan kebaikan tetapi tidak dikerjakannya maka Allah mencatitkan untuknya satu pahala dan jika dia berniat hendak melakukan kebaikan lalu dikerjakannya maka Allah mencatitkan untuknya sepuluh (pahala) hingga tujuh ratus kali ganda atau lebih. Sesiapa yang berniat hendak melakukan sesuatu kejahatan, tetapi tidak dikerjakannya Allah mencatitkan untuknya satu pahala dan jika dia berniat hendak melakukan kejahatan kemudian dilakukannya Allah mencatitkan untuknya satu dosa.”

~Baiklah,sampai bertemu lagi~




بسم الله الرحمن الرحيم


Assalammualaikum buat semua pembaca. Ucapan salam sejahtera juga kepada pembaca yang bukan Muslim. Sebagai pembuka tirai blog saya, saya akan berbicara mengenai “cinta”. Pada pendapat saya, cinta itu luas skopnya. Jangan pernah berhenti untuk menyintai sesuatu. Mengapa? Hal ini kerana dengan cinta, kita mampu melakukan apa-apa sahaja, dengan izin Allah swt. Perkara ini sama juga dengan niat saya membuka laman blog ini, nawaitu mahu berkongsi apa-apa sahaja ilmu yang dimiliki. Sebenarnya sudah dua tahun lepas saya membuka laman blog ini, namun masih tiada kekuatan untuk saya berkongsi apa-apa yang bermanfaat di laman blog ini, tapi kini, saya berazam mahu "bercinta" dengan laman blog ini, mana tahu saya boleh memaksimumkan dan menajamkan lagi teknik penulisan saya. Sebenarnya, pernah juga saya berangan-angan mahu menjadi seorang novelis. Tetapi entahlah, mungkin masa yang tepat belum sampai lagi.  Saya bukanlah insan yang hebat dalam berbicara atau tinggi ilmunya. Namun, sebagai hamba Allah, muslimah dan insan yang gemar dan “cinta” akan ilmu saya harus memanfaatkan blog ini sebagai medium untuk melangkah lebih maju lagi.



InshaAllah, dengan izin Allah swt, saya mahu meneruskan  coretan dan bingkisan di laman blog ini. Saya berharap akan dapat terus menyebarkan apa-apa sahaja yang bermanfaat buat para pembaca pada masa akan datang.
Salam undur diri. Semoga berjumpa lagi. 

~Jika kita selalu fikir akan masa depan, tapi jangan kita lupa akan 'hari esok'. ~

 "..dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa sahaja yang telah dilakukan untuk hari esok (akhirat).."[al-Hasyr 59:18-19]